Wednesday, 15 January 2014

Peranan Pengguna Dalam Menangani Peningkatan Kos Sara Hidup

Kita sering mendengar ungkapan (cliché) "kenaikan harga ini adalah minima dan tidak membebankan rakyat" atau "kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan dan rakyat perlu berjimat cermat, jangan membazir" keluar daripada mulut para pemimpin negara setiap kali berlaku kenaikan harga sesetengah barangan atau perkhidmatan.
Ungkapan-ungkapan ini dijangka akan kembali kedengaran sekiranya harga minyak di pasaran dunia semakin tinggi. Jadi seyogialah kita semua bersedia untuk membayar lebih lagi untuk bahan bakar tersebut dan juga barangan-barangan yang berada di bawah kumpulan makanan dan minuman; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api, dan pengangkutan.
Selain ungkapan-ungkapan tersebut, ada satu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum yang dapat kita perhatikan melalui suasana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini, iaitu di sebalik kenaikan harga, indeks harga pengguna (IHP) negara kekal stabil pada paras yang rendah.
Apapun, kita terpaksa mengakui bahawa rata-rata ahli masyarakat sekarang mengeluh kerana berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana akan berlaku peningkatan kos sara hidup. Jadi apa ikhtiar kita untuk menangani masalah ini? Perlukah kita mengambil saranan para pemimpin supaya berjimat cermat dan jangan membazir sedangkan sumber kewangan terhad yang kita ada semakin hari semakin mengecil nilainya akibat dihakis oleh masalah kenaikan perbelanjaan sara hidup ini?
Sebenarnya apa yang kita alami sekarang turut dialami oleh masyarakat Muslim yang terdahulu. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan masalah kenaikan harga ini berlaku dalam sejarah tamadun Islam seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dan Khalifah Uthman Ibn al-Affan.
Berbeza dengan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan kita yang banyak menggunakan pendekatan kawalan harga ke atas keperluan asas dan memberi subsidi ke atas barangan tertentu.  Pendekatan Nabi SAW untuk masalah ini dilihat lebih adil dan saksama kepada pihak pengeluar dan pengguna. Baginda membiarkan aliran permintaan dan penawaran yang menentukan rangkaian taraf harga. Ini adalah lebih adil kerana ada waktunya harga meningkat kerana unsur-unsur yang ditentukan Ilahi seperti kekurangan bekalan akibat perubahan cuaca dan sebagainya. Ia juga untuk mendidik pengguna supaya tahu menggunakan hak-hak yang ada pada mereka untuk mengawal taraf harga pasaran tanpa perlu ada campur tangan kerajaan.
Inilah juga pendekatan yang diambil oleh khalifah Umar ibn Al-Khattab apabila golongan wanita datang mengadu kepada baginda berkenaan kenaikan harga daging. Khalifah Umar menyuruh mereka menangguhkan pembelian sehingga harga daging turun. Ia juga merupakan satu isyarat supaya masyarakat pengguna tidak terikat dengan suatu barangan tertentu sahaja. Sebaliknya kita perlu mencari pilihan lain kepada barang tersebut yang mungkin lebih murah tetapi tetap mempunyai sifat dan mutu yang sama seperti barangan asal yang kita kehendaki.
Bagaimanapun, pendekatan yang diambil oleh Khalifah Uthman Ibn al-Affan bagi menangani masalah ini agak berbeza sedikit. Pendekatan yang diambil mungkin berdasarkan perbezaan suasana yang dialami pada waktu itu. Sebagai contoh, apabila masalah kenaikan harga melanda rakyat di sebuah kawasan di bawah kuasa pemerintahannya, khalifah Uthman telah menghantar satu kafilah barangan keperluan ke kawasan terbabit dan mengagihkan secara percuma kepada penduduk di situ.
Dengan kata lain jika kita merujuk kepada kisah-kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah saw, zaman Khalifah Umar dan Khalifah Uthman, aliran Islam sebenarnya menganjurkan satu kaedah pasaran bebas yang bertindak untuk menentukan harga barangan dan perkhidmatan. Pada masa yang sama juga ia menganjurkan kepada umatnya supaya menggunakan kuasa yang ada untuk mempengaruhi tahap harga di pasaran.
Di sini kita dapati unsur kepenggunaan dan kuasa pengguna sepatutnya digunakan dengan bijaksana. Selain itu juga, kerajaan dilihat berperanan untuk mengurangkan beban yang dialami masyarakat melalui pendekatan-pendekatan berbentuk pengagihan kemakmuran negara secara saksama. Selain itu peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal selia suasana pasaran perlu juga diwujudkan supaya tidak berlaku apa yang dirujuk oleh Ibn Taimiyyah (1263M - 1328M) di dalam bukunya "Majmuk al-Fatawa Shaikh al-Islam" sebagai kenaikan harga yang berpunca daripada salah laku manusia dan ketidaksempurnaan pasaran seperti perbuatan menyorok barang, spekulasi, peranan orang tengah, amalan monopoli dan sebagainya.
Hakikatnya, masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang kita alami sekarang bukan hanya berpunca daripada peningkatan harga minyak dunia semata-mata. Ia juga ada kaitan lebihan permintaan, kekangan bekalan serta kelemahan kaedah pasaran.
Walau apa pun unsur pencetus masalah ini, kita sebagai pengguna  yang bijak perlu bersederhana dalam segi penggunaan dan perbelanjaan. Dengan bersederhana dan berjimat cermat, jumlah permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat dikurangkan dan wang kita boleh disalurkan untuk tujuan yang lebih baik.
Pendekatan kepenggunaan perlu berasaskan kepada keperluan sebenar manusia bukannya penggunaan yang mengikut kehendak nafsunya kerana kehendak nafsu manusia adalah tidak terbatas.
Gaya hidup melalui pendekatan kepenggunaan yang mengguna atau berbelanja untuk kepuasan yang tidak terhad. Sebaliknya jika kita mengamalkan  pendekatan mengikut keperluan dalam setiap urusan perbelanjaan kita, sudah pasti semua masalah yang berpunca daripada pendekatan ekonomi sedia ada dapat dihindari.


No comments:

Post a Comment